+60 111-684 0717 BLOG PENULISAN ZUL FATTAH

Isnin, 6 Mei 2013

Tahniah Untuk Pemimpin?

10:09:00 PTG

Share it Please

Alhamdulillah TAMMAT sudah PRU13. Tahniah diucapkan kepada pihak BARISAN NASIONAL kerana masih lagi diizinkan oleh ALLAH SWT untuk memerintah negara MALAYSIA ini, dan tahniah juga untuk pihak PAKATAN RAKYAT kerana dapat mengekalkan 3 negeri di dalam tangan PR.

Menerima jawatan atau pangkat, adakah satu hadiah atau anugerah bagi kita? Sekiranya, hari ini anda menerima panggilan atau sepucuk surat perlantikan untuk memegang jawatan-jawatan tertentu dalam organisasi, apakah yang anda akan fikir ketika itu? Barangkali ada yang menerimanya dengan senyuman. Barangkali ada yang menerimanya dengan rasa kesedihan. Atau mungkin juga kita tidak rasa apa-apa?

Bila kita diminta untuk menguruskan sesuatu program yang melibatkan ratusan bahkan ribuan peserta, bagaimanakah rasa ketika itu? Biasanya, orang akan mengucapkan tahniah apabila kita diberikan apa-apa tanggungjawab. Tetapi, menerima tanggungjawab itu, suatu yang memang menggembirakankah atau bagaimana?

Pesanan untuk BN:

Semakin tinggi kita panjat pokok, semakin banyak buah yang dapat kita makan. Tapi kalau kita jatuh dari jarak yang tinggi, sakitnya memang tidak terperi. Jadi berhati-hatilah dalam memanjat pokok. Kadang-kadang batang pokok itu licin asbab basah dengan air hujan, jadi mudah untuk tergelincir. Pernah tak kita terfikir? DIRI kita ni, layak ke jadi KETUA? Adakah dalam diri kita ini, ada ciri-ciri KEPIMPINAN?

Nabi saw telah bersabda:

“ Sesungguhnya kamu akan menakluk di timur dan dibarat bumi. Semua pemimpin-pemimpinnya berada dalam neraka kecuali dia bertakwa kepada Allah dan yang memegang amanah.”
(Hadis riwayat Ahmad daripada Mas’ud bin Qubaisah)

Ciri-ciri yang perlu ada dalam setiap diri pemimpin ialah, takwa dan amanah. TAKWA adalah orang yang menjunjung perintah Allah dan meninggalkan larangannya. AMANAH adalah menguruskan orang bawahannya mengikut al-Quran dan Sunnah bukannya mengikut logik pemikirannya. Jadi cuba renung diri kita, ada ke tak dalam diri kita sifat-sifat ini.?

Memang aku tak nafikan, memilih ketua itu suatu yang hak, kerana pemilihan pimpinan adalah suatu perkara yang penting bagi umat Islam kerana mereka akan membawa hala tuju orang yang di pimpin. Dalam perkara yang kecil pun Islam menyuruh kita memilih pemimpin. Rasulullah saw bersabda:

“ Apabila kamu keluar bermusafir 3 orang hendaklah kamu memilih seorang untuk menjadi ketua.”
(Hadis riwayat Abu Daud)

Siapa yang ada kuasa untuk memilih pimpinan dalam apa jua sitiuasi (walau pun sekadar ketua rumah/kelas) ia mempunyai tanggung jawab yang sangat berat kerana kewajipan kepadanya untuk memilih yang paling diredhai oleh Allah dan Rasulnya. Kesemua manusia, persatuan, parti dan sebagainya ada membuat kesilapan. Nabi saw sendiri sebagai pemimpin agung juga ditegur secara terang – terangan oleh Allah dalam surah Abasa. Kita hendaklah memilih pemimpin yang kurang kesilapan dan kesalahannya serta lebih disayangi oleh Allah dan Rasulnya. Oleh itu kita wajib memilih pemimpin yang lebih diredai oleh Allah dan Rasulnya. Nabi saw bersabda:

“ Sesiapa yang yang melantik seorang lelaki untuk mengurus dan memerintah satu kaum sedangkan ada yang Allah lebih reda daripada lelaki tersebut , sesungguhnya dia telah mengkhianati Allah, Rasulnya dan orang-orang beriman.”
(Hadis riwayat Hakim dari Ibnu Abbas)

Ada yang memilih seseorang kerana ia saudaranya, kerana itu rakannya, kerana dia boleh bagi duit banyak, kerana nak kenakan dia, kerana lebih baik rupa paras, kerana lebih kaya, kerana banyak keuntungan dunia dan niat-niat yang lain yang bukan ianya lebih Allah dan Rasulnya redai. SEMUA ITU ADALAH SATU PENGKHIANATAN KEPADA ALLAH, RASUL DAN ORANG-ORANG BERIMAN.

Cuba kita tanya diri kita sekali lagi, dalam hati kita ini ada Allah ke ada asbab lain yang menyebabkan kita ingin menjadi pemimpin? Kalau ada asbab lain, cepat-cepat istighfar dan betulkan niat. Tak salah untuk memimpin tapi biar kena dengan apa yg dipimpin. Apa-apa pun, keputusan telah dibuat dan aku ingin ucapkan selamat maju jaya untuk BN dalam memimpin Malaysia ke arah yang lebih baik dari yang sebelum ini.

Pesanan untuk PR:

Jangan besedih dan jangan putus asa. Cukuplah dengan alasan demi alasan. Blackout, pengundi hantu, bangla mai, rasuah, tipu sana sini. Alasan ini tak mahu ada dalam diri seorang pejuang. Semua yang berlaku adalah dengan izin Allah SWT. Kalau Allah kata "Jadi" maka jadilah, tapi kalau Allah kata "tak jadi" maka tak akan terjadi sesuatu perkara itu. Aku ingin petik sedikit kata-kata dari Tok Guru Nik Aziz, Menteri Besar Kelantan,

"Sebagai pejuang Islam, mereka tidak patut kecewa dengan keadaan itu yang dianggap sebagai suatu cabaran yang mesti dihadapi"

Barang yang lepas jangan dikenang. Allah sudah tentukan jadi PR kena redha pada Allah dan kena ada sifat takwa. Yakni takut dan harap. TAKUT kalau PR menang masa ini, PR masih belum bersedia untuk memerintah MALAYSIA dan mungkin akan jadi lebih teruk. HARAP juga PR akan menang untuk membela nasib rakyat kedua di dalam MALAYSIA. sifat-sifat takut dan harap ini, perlu ada dalam setiap diri kita dapat sifat takwa terhadap ALLAH SWT.

Banyak pemilih-pemilih yang teruja dengan projek-projek dunia yang memuaskan keinganan dunia mereka sedangkan pemimpin itu jarang bercakap tentang akhirat apa lagi menggalakkan rakyatnya beramal untuk ke akhirat. Kita semua sudah mengetahui bahawa kehidupan akhirat adalah kehidupan hakiki dan dunia adalah sementara. Oleh itu kita hendak pemimpin yang membawa projek akhirat dan dalam masa yang sama tidak mengetepikan dunia dari tangan. Pemimpin yang selalu mengingatkan kita tentang akhirat dan pemimpin yang melaksanakan hukuman akhirat. Firman Allah swt:

“ Dan kehidupan akhirat adalah lebih baik bagi kamu dan lebih kekal.”
(Ayat 17 surah al-A’la)

Sebagai kesimpulan, aku sebenarnya tidak kisah sangat siapa yang pegang Malaysia. 
Sabda Nabi s.a.w. dalam satu hadis yang bermaksud :

“Setiap dari kamu adalah pemimpin, dan setiap dari kamu akan ditanya tentang apa yang dipimpinnya.” 
[HR Bukhari dan Muslim]

Kita pasti akan ditanya, dengan tanggungjawab yang ada pada kita. Seorang ayah atau ibu, akan ditanya tentang apa yang dilakukannya terhadap keluarga dan anaknya. Seorang guru, akan ditanya tentang didikan apakah yang telah diberikan kepada anak muridnya. Seorang pemimpin negara, akan ditanya ke manakah dia telah membawa rakyatnya.

Dari sekecil-kecil tanggungjawab hinggalah kepada sebesar-besarnya, akan ditanya. Hatta kita yang mungkin merasakan tidak ada apa-apa, tidak mahu mengambil tanggungjawab apa-apa, pun akan ditanya apakah yang telah kita lakukan terhadap diri kita sendiri.

Amanah dengan tanggungjawab sebagai hamba Allah, pasti Allah akan bantu kita untuk amanah dalam tanggungjawab kita sesama manusia. Kita tidak meminta, tetapi bila diberi kita laksanakan sebaiknya. Kita tidak mengejar dunia dengan tanggungjawab yang ada pada kita, tetapi kita mengejar syurga dan redha-Nya.

Maka, orang yang jelas matlamat dalam melaksanakan tanggungjawabnya, pasti akan melaksanakan tanggungjawabnya dengan penuh amanah. Dia tahu ke mana hendak dibawa dirinya dan orang di bawahnya dengan tanggungjawab yang ada padanya itu. Moga dengan tanggungjawab yang ada pada kita, tidak menjadikan kita leka, bahkan semakin dekat dengan Dia !

3 comments:

  1. suka dengan entri ni.
    akan ku mintak kawan-kawan yang fanatik dgn parti2 masing2 untuk baca.
    saya pun mengundi berdasarkan calon bukan parti~

    BalasPadam
  2. adk yg x mngundi ni tengok pun sakit hati

    BalasPadam
  3. ya Allah...suka sgt baca entri ni..mohon share ye :)

    BalasPadam

Terima Kasih :D